PENTINGNYA PENGURUSAN MASA…

Anda tentu pernah mendengar pepatah “Masa itu emas”. Ini bermakna masa itu adalah sangat berharga. Kalau anda kekurangan wang, anda boleh meminjamnya, akan tetapi, masa yang telah berlalu, tidak dapat dipinjam. Oleh itu, sebagai pelajar cemerlang seharusnya anda bijak menggunakan masa. Seseorang pelajar yang cemerlang, tentu sekali tidak akan melakukan perkara-perkara yang merugikan dan bertangguh dalam melaksanakan sesuatu perkara. Pelajar yang cemerlang juga sayangkan masanya kerana waktu itu adalah amat berharga.

Pengurusan masa yang sempurna adalah penting dalam kehidupan seseorang pelajar. Pelajar perlu pandai membahagi-bahagikan masa dengan bijak demi keperluan akademik dan kehidupan sosial.  Apabila tidak ada pengurusan masa yang cekap dan sempurna, pelajar akan menemui kegagalan dalam kedua-dua aspek.

Pernahkah anda terfikir, mengapa ada pelajar yang begitu sibuk dengan aktiviti sekolah masih boleh cemerlang dalam peperiksaan, sedangkan pelajar lain yang tidak begitu sibuk tidak cemerlang? Kebanyakan pelajar merungut mereka terlalu sibuk hingga tidak dapat menumpukan perhatian kepada kecemerlangan akademik. Adakah ini kerana mereka benar-benar sibuk atau kerana mereka tidak dapat uruskan masa mereka dengan baik?

Pengurusan masa yang sempurna bukan berdasarkan jumlah masa yang digunakan, tetapi cara masa itu diuruskan. Seseorang yang mengambil masa selama dua jam untuk menyiapkan sesuatu pekerjaan sedangkan pekerjaan itu boleh disiapkan dalam masa satu jam, menunjukkan bahawa dia tidak melakukan pengurusan masa yang betul. Sebaliknya, seseorang yang dapat menyiapkan pekerjaan yang sama dalam masa satu jam atau kurang, menunjukkan bahawa dia mempunyai pengurusan masa yang baik.

Satu  masalah utama yang disebut-sebut oleh pelajar ialah masalah pengurusan masa. Tidak pandai menguruskan masa adalah satu faktor utama yang menjadi penghalang pelajar menjadi cemerlang. Kesibukan menghadiri sekolah, kegiatan kokurikulum, kelas tambahan dan lain-lain menuntut pelajar mengurus waktunya dengan cekap. Kegagalan mengurus masa mengakibatkan pelajar berada dalam kesukaran dan tidak melakukan satu-satu perkara dengan sempurna.

Pengurusan masa juga merujuk kepada cara menguruskan masa agar anda dapat mencapai matlamat anda. Jika anda pandai mengurus dan menggunakan masa dengan baik, sudah tentu anda mempunyai lebih masa untuk membuat kerja sekolah dan mengulang kaji pelajaran. Terdapat beberapa kaedah mengurus masa agar tidak terbuang begitu saja. Misalnya:

1. Senaraikan semua aktiviti yang dijalankan dalam satu hari.
2. Susun atur aktiviti berdasarkan kepentingannya.
3. Elakkan menyenarai aktiviti yang tidak berfaedah.
4. Agihkan masa dalam sehari untuk setiap aktiviti.
5. Buat satu jadual untuk aktiviti anda dengan masa yang diperuntukkan.
6. Disiplinkan diri melakukan semua aktiviti yang telah anda tetapkan.
7. Jika berjaya dalam sehari, cuba buat jadual aktiviti dalam masa seminnggu. 

ARNAB YANG PEMALAS

Cerita kanak-kanak tentang dua sahabat.

Di sebuah hutan tinggal sepasang sahabat. Mereka ialah seekor arnab dan seekor tupai. Setiap hari mereka menghabiskan masa bersama-sama. Pada suatu hari, tupai berkata kepada arnab, “Mari kita buat sarang. Sekarang dah tiba musim hujan. Apabila hujan, kita ada tempat berteduh.” “Ya, betul kata awak. Tapi biarlah saya berehat dulu,” jawab arnab. Pada petang itu, hujan turun dengan lebatnya. Tupai dan arnab berteduh di bawah pokok. Mereka basah dan kesejukan.”Jika kita ada sarang, tentu kita tak akan basah begini,”kata tupai. “Ya, betul kata awak,” jawab arnab. “Pagi esok kita akan buat sarang,” kata arnab lagi.

Keesokan pagi, cuaca sungguh baik. Tupai mengajak arnab menbuat sarang. “Lebih baik kita pergi cari kayu untuk membuat sarang,” kata tupai. “Tapi bukan sekarang,” jawab arnab. “Kita masih ada banyak masa lagi. Marilah kita pergi cari makanan. Saya sungguh lapar!” Tupai menggeleng-geleng melihat sikap sahabatnya itu. Pada petang itu, hujan turun lagi. Tupai dan arnab basah kuyup kerana tiada tempat berteduh. “Alangkah baiknya jika kita ada sarang,” kata tupai. “Esok kita mesti buat sarang. Saya tak mahu terus basah seperti ini sewaktu hujan.” Arnab yang pemalasitu tidak menghiraukan rungutan sahabatnya. “Kita tunggu esok sahajalah,” kata arnab.